MANFAAT PELAKSANAAN GST
12 March 2015
Manfaat Kepada Pengguna
Pengguna ataupun rakyat akan mendapat faedah jangkamasa panjang daripada pelaksanaan GST ini apabila hasil dan pendapatan Kerajaan dari GST boleh digunakan untuk tujuan pembangunan infrastruktur sosial seperti kemudahan kesihatan, institusi pendidikan dan kemudahan awam untuk meningkatkan lagi taraf hidup rakyat.
Selain itu, melalui GST pengguna juga akan membayar harga berpatutan untuk barangan dan perkhidmatan selepas penghapusan cukai berganda seperti yang berlaku di bawah cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sekarang. GST adalah sistem percukaian yang menggantikan SST, dan bukannya cukai tambahan ataupun lebihan yang dikenakan kepada pengguna.
Antara fakta yang lain mengenai GST yang mungkin masih tidak diketahui ramai adalah terdapat barang-barang dan perkhidmatan asas yang tidak dikenakan GST. Dalam sistem percukaian GST ini, terdapat kumpulan barangan berkadar sifar dan juga kumpulan barangan yang dikecualikan yang mana semua barangan yang tersenarai di bawah kedua-dua kumpulan ini tidak akan dikenakan GST.
Contoh-contoh barangan yang tidak dikenakan GST adalah barang makanan seperti beras, tepung gandum, gula pasir, susu bayi, roti putih, produk-produk pertanian, binatang ternakan dan daging, ubat-ubatan, bahan bacaan serta perkhidmatan- perkhidmatan awam seperti rel, bas, teksi, pendidikan dan kesihatan. Ini adalah penting bagi menjamin rakyat Malaysia terutamannya golongan pendapatan rendah hanya menerima kesan dan impak yang minimum dengan pelaksanaan GST.
Ketelusan sistem percukaian GST yang mengutip cukai di setiap peringkat menyebabkan pengguna tidak lagi membayar cukai berganda yang dimasukkan dalam harga akhir jualan seperti dalam sistem cukai jualan sekarang.
GST dapat meningkatkan aliran pendapatan negara. Kerajaan pusat dijangka akan menjana lebih banyak pendapatan dengan pelaksanaan GST. Pendapatan kerajaan yang bertambah ini dapat digunakan untuk perbelanjaan pembangunan dan kesejahteraan rakyat. Lebih ramai orang miskin akan dapat dibantu. GST juga membolehkan kerajaan mengurangkan cukai korporat dan pendapatan.