You're visitor number ...

SEMESTER 3


Cabaran Komuniti ASEAN


Tema sambutan ulang tahun ASEAN yang ke-44 pada tahun ini sangat unik dan mendalam pengertiannya, iaitu “Unity in Diversity” atau kesatuan dalam kepelbagaian. Setiap 10 buah negara anggota ASEAN memiliki ciri-ciri dan keunikannya yang tersendiri namun perbezaan yang wujud itu adalah suatu perkara yang lumrah berbanding dengan manfaat yang bakal diperoleh melalui penggabungan komitmen negara tersebut dalam entiti yang telah diasaskan sejak tahun 1967 itu.
Idea yang merintis ke arah penubuhan entiti kerjasama rantau Asia Tenggara telah wujud sejak awal dekad 1960-an apabila tertubuhnya Association of Southeast Asia (ASA) yang dianggotai oleh Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), Thailand dan Filipina. Walau bagaimanapun, gagasan ASA tergencat apabila timbul konflik tuntutan Filipina ke atas wilayah Sabah yang menyertai Malaysia pada tahun 1963.  Selain itu, kemelut konfrontasi yang menyelubungi hubungan Indonesia-Malaysia antara tahun 1963-1966 merupakan faktor tambahan yang menyebabkan sukarnya sebuah organisasi serantau diwujudkan di rantau Asia Tenggara pada awal dekad 1960-an.
Sesungguhnya peristiwa penubuhan ASEAN berlaku pada awal bulan Ogos 1967 apabila Thailand bertindak sebagai tuan rumah untuk mengadakan sesi sumbang saran bagi memikirkan hala tuju kerjasama di rantau Asia Tenggara. Bagi memastikan sesi sumbang saran itu dijalankan secara santai dan penuh keceriaan, maka bandar peranginan Bang Saen di luar kota Bangkok telah dijadikan lokasi perbincangan berkenaan. Sesi sumbang saran yang akhirnya mencetuskan penubuhan ASEAN itu telah dihadiri oleh lima orang “Bapa Pengasas ASEAN”, iaitu Tun Abdul Razak (Malaysia), Tun Adam Malik (Indonesia), S.Rajaratnam (Singapura), Narciso R.Ramos (Filipina) dan Thanat Khoman (Thailand). Melalui pendekatan santai dan penuh kemesraan yang ditunjukkan oleh lima orang tokoh berkenaan, maka pada 8 Ogos 1967 termeterailah perjanjian yang dikenali sebagai Deklarasi ASEAN yang menjadi batu asas keberlangsungan rantau Asia Tenggara hingga hari ini. Objektif utama penubuhan ASEAN seperti yang digariskan dalam deklarasi tersebut ialah:
a)    Mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan pembangunan kebudayaan serantau melalui usaha sama dalam semangat keamanan dan persahabatan demi mengukuhkan keamanan dan kesejahteraan seluruh komuniti di Asia Tenggara; dan
b)    Mewujudkan keamanan dan kestabilan serantau menghormati keadilan dan undang-undang di dalam hubungan antara negara serta mematuhi prinsip carta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Sejak ASEAN ditubuhkan pelbagai perjanjian dan forum perbincangan telah diwujudkan bagi merealisasikan aspirasi untuk meningkatkan kerjasama yang meluas dalam kalangan negara ASEAN. Salah satu resolusi yang cukup signifikan ialah perisytiharan ZOPFAN (Zone of Peace, Freedom and Neutrality) pada tahun 1971 yang meletakkan rantau ASEAN sebagai sebuah yang rantau yang bebas dan berkecuali dari sebarang pengaruh kuasa besar yang tertentu sama ada blok Barat mahupun Timur.
Sepanjang tempoh 1976 hingga 2011 sebanyak 19 sidang kemuncak ASEAN telah diadakan bagi membincangkan pelbagai isu yang timbul dalam kalangan negara anggota ASEAN yang mencakupi aspek politik, ekonomi, keselamatan dan alam sekitar. Pada sidang kemuncaknya yang pertama pada tahun 1976 di Bali, Indonesia para pemimpin negara ASEAN telah memeterai “Treaty of Amity and Cooperation” yang memfokuskan inisiatif untuk menyelesaikan sebarang pertelingkahan dalam kalangan negara anggota melalui pendekatan diplomasi, seperti rundingan damai. Selain itu, sidang kemuncak di Bali ini juga telah meluluskan penubuhan Sekretariat ASEAN yang berpengkalan di Jakarta, Indonesia.
Sidang Kemuncak ASEAN yang keempat pada tahun 1992 di Singapura merupakan permulaan kepada liberalisasi ekonomi di rantau ASEAN apabila pemimpin negara ASEAN mempersetujui pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA). Mekanisme utama bagi menggerakkan AFTA ialah skim The Common Effective Preferential Tariff (CEPT). Konsep CEPT ialah pengurangan tarif terhadap produk-produk perkilangan dan pertanian sebagai langkah merancakkan perdagangan di kalangan negara ASEAN.
Krisis ekonomi yang melanda rantau Asia Tenggara pada tahun 1997 merupakan sejarah pahit yang akan dikenang selama-lamanya. Kegawatan ekonomi yang boleh diibaratkan sebagai “wabak penyakit” itu mula menyerang Thailand kemudian merebak ke Indonesia dan Malaysia. Instrumen krisis ekonomi 1997 adalah menerusi serangan terhadap mata wang baht, rupiah dan ringgit serta pasaran saham ketiga-tiga buah negara berkenaan. Kaedah yang digunakan oleh pemimpin negara yang dilandai teruk krisis ekonomi 1997 adalah berbeza. Indonesia dan Thailand terpaksa tunduk kepada pujuk rayu Tabung Wang Antarabangsa (IMF) manakala Malaysia di bawah teraju Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamad mengambil langkah berani dengan menolak tawaran bantuan IMF tetapi sebaliknya memperkenalkan beberapa mekanisme yang akhirnya berjaya membendung serangan bertubi-tubi terhadap ringgit, iaitu menambat mata wang ringgit serta mengawal aktiviti pasaran luar pesisir yang terdedah kepada serangan spekulator mata wang. Pengalaman pahit yang terjadi 14 tahun lalu itu merupakan pengajaran yang berguna bukan sahaja kepada tiga buah negara yang menerima kesan teruk kegawatan ekonomi tetapi kepada negara-negara ASEAN lain, iaitu Singapura, Brunei dan Filipina.
Sesungguhnya ASEAN sedang mengorak langkah ke arah pembentukan komunitinya yang mantap dan saling membantu antara satu sama lain. Tonggak komuniti ASEAN ialah ekonomi, keselamatan dan sosiobudaya. Oleh itu, bagi mencapai matlamat komuniti ASEAN yang berkesan, maka beberapa cabaran penting, seperti isu keselamatan serantau dan kestabilan politik negara anggota wajar diperhalusi dengan rasional. Pada masa ini Myanmar adalah satu-satunya negara ASEAN yang masih diperintah oleh junta tentera yang tidak mengamalkan demokrasi. Myanmar yang menganggotai ASEAN pada tahun 1997 menempa imej yang negatif di pentas antarabangsa kerana rekod buruknya dalam aspek hak asasi manusia. Isu pelarian Ronhingya dan sekatan kebebasan bersuara terhadap tokoh politik wanita Myanmar, Suu Kyi merupakan dua perkara yang mendapat perhatian dunia. Kemuncak kerakusan rejim junta Myanmar ialah serangan terhadap sekumpulan sami Buddha pada tahun 2007 yang mengadakan demonstrasi jalanan membantah tindakan junta mengurangkan subsidi petrol hingga membebankan rakyat Myanmar. Pendekatan junta Myanmar yang memandang remeh kebebasan hak asasi manusia ini pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri Luar ASEAN pada September 2007 hingga terdapat  dalam kalangan pemimpin ASEAN yang berpandangan bahawa Myanmar perlu digantung keanggotaannya. Di Thailand pula, keganasan di wilayah bergolak Selatan Thai merupakan satu cabaran yang berat kepada Kerajaan Thai yang kini diterajui oleh Yingluck Shinawatra. Serangan terbaru di Sungai Golok yang berlaku pada hujung September 2011 lalu meletakkan wilayah Selatan Thai dalam kondisi darurat. Walaupun Yingluck dan kabinetnya pada masa ini sedang berusaha keras mengatas krisis bencana alam banjir yang melanda wilayah utara Thailand, namun masyarakat antarabangsa juga sedang menantikan satu pakej penyelesaian yang komprehensif  terhadap krisis di Selatan Thai yang dihuni majoriti etnik Melayu beragama Islam.
Pelancaran piagam ASEAN pada penghujung tahun 2008 merupakan satu inisiatif untuk mewujudkan komuniti ASEAN yang progresif dan saksama dalam mendepani cabaran globalisasi. Matlamat piagam ASEAN yang menitikberatkan pengiktirafan hak kedaulatan dan kebebasan sesebuah negara dalam kalangan anggota ASEAN jelas menzahirkan bahawa rantau Asia Tenggara bebas daripada dasar campur tangan corak pemerintahan sesebuah negara. Walau bagaimanapun hal ini tidak bermakna ASEAN akan berdiam diri sekiranya berlaku pelanggaran hak asasi manusia di mana-mana negara ASEAN. Oleh yang demikian, pada tahun 2009 Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia telah ditubuhkan sebagai wadah untuk menyelesaikan sebarang pertikaian hak asasi manusia seperti pemerdagangan manusia dan hak kebebasan bersuara.
Peranan ASEAN sebagai payung kepada keharmonian rantau Asia Tenggara perlu dipertahankan dan masih relevan walaupun belum mampu setanding dengan Kesatuan Eropah yang ditubuhkan 24 tahun selepas pembentukan ASEAN. Seluruh dunia perlu menerima hakikat bahawa gagasan liberalisasi rantau ASEAN dalam segenap aspek perlu dilakukan dengan teliti agar tidak memudaratkan nilai timur yang dijunjung oleh segenap negara anggotanya.

Soalan Ramalan Karangan


Jenayah yang memberi kesan kepada keamanan atau keselamatan lebih daripada satu negeri atau yang begitu tercela dalam alam semulajadi sebagai untuk mewajarkan campur tangan agensi antarabangsa dalam penyiasatan dan pendakwaan itu.

Ciri
a) Jenayah terhadap keamanan (crimes against peace)
b)Jenayah pencerobohan (crimes of aggression)
c)Jenayah peperangan (war crimes)
d)Jenayah terhadap kemanusiaan (crimes against humanity)
e) Genosid

Sebab/faktor
a) Tuntutan politik melalui keganasan
b) Sikap tamak manusia
c) Secara paksaan (contohnya, keldai dadah)
d) Ketiadaan pegangan agama

Kesan
a) Imej dan reputasi negara yang terlibat akan dijejaskan.
b) Keselamatan dan keharmonian rakyat tidak terjamin.
d) Kedaulatan negara dicabarkan oleh tindakan penganas.
d) Sektor pelancongan terjejas.
e) Sektor ekonomi dijejaskan.
f) Proses pembangunan negara dijejaskan.

Cabaran
a) Kebesaran dan kerumitan model organisasi haram tersebut.
b) Kekurangan informasi tentang organisasi haram tersebut.
c) Kebolehan penjenayah untuk menggunakan teknologi canggih untuk mengelakkan perhatian pihak berkuasa.
d) Penjenayah yang terdiri daripada individu yang berpendidikan tinggi.

Langkah
a) Mengadakan perjanjian antara agensi penguatkuasa negara lain dan antarabangsa
b) Saling bertukar maklumat, pengalaman dan kepakaran dengan agensi negara lain.
c) Menguatkuasakan undang-undang lebih ketat seperti Akta Anti Penyeludupan Manusia.

No comments:

Post a Comment