Cabaran Komuniti ASEAN
Tema sambutan ulang tahun ASEAN yang ke-44
pada tahun ini sangat unik dan mendalam pengertiannya, iaitu “Unity in
Diversity” atau kesatuan dalam kepelbagaian. Setiap 10 buah negara anggota
ASEAN memiliki ciri-ciri dan keunikannya yang tersendiri namun perbezaan yang
wujud itu adalah suatu perkara yang lumrah berbanding dengan manfaat yang bakal
diperoleh melalui penggabungan komitmen negara tersebut dalam entiti yang telah
diasaskan sejak tahun 1967 itu.
Idea yang merintis ke arah penubuhan entiti
kerjasama rantau Asia Tenggara telah wujud sejak awal dekad 1960-an apabila
tertubuhnya Association of Southeast Asia (ASA) yang dianggotai oleh
Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), Thailand dan Filipina. Walau bagaimanapun,
gagasan ASA tergencat apabila timbul konflik tuntutan Filipina ke atas wilayah
Sabah yang menyertai Malaysia pada tahun 1963.
Selain itu, kemelut konfrontasi yang menyelubungi hubungan
Indonesia-Malaysia antara tahun 1963-1966 merupakan faktor tambahan yang
menyebabkan sukarnya sebuah organisasi serantau diwujudkan di rantau Asia
Tenggara pada awal dekad 1960-an.
Sesungguhnya peristiwa penubuhan ASEAN berlaku
pada awal bulan Ogos 1967 apabila Thailand bertindak sebagai tuan rumah untuk
mengadakan sesi sumbang saran bagi memikirkan hala tuju kerjasama di rantau
Asia Tenggara. Bagi memastikan sesi sumbang saran itu dijalankan secara santai
dan penuh keceriaan, maka bandar peranginan Bang Saen di luar kota Bangkok
telah dijadikan lokasi perbincangan berkenaan. Sesi sumbang saran yang akhirnya
mencetuskan penubuhan ASEAN itu telah dihadiri oleh lima orang “Bapa Pengasas
ASEAN”, iaitu Tun Abdul Razak (Malaysia), Tun Adam Malik (Indonesia),
S.Rajaratnam (Singapura), Narciso R.Ramos (Filipina) dan Thanat Khoman
(Thailand). Melalui pendekatan santai dan penuh kemesraan yang ditunjukkan oleh
lima orang tokoh berkenaan, maka pada 8 Ogos 1967 termeterailah perjanjian yang
dikenali sebagai Deklarasi ASEAN yang menjadi batu asas keberlangsungan rantau
Asia Tenggara hingga hari ini. Objektif utama penubuhan ASEAN seperti yang
digariskan dalam deklarasi tersebut ialah:
a)
Mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan pembangunan
kebudayaan serantau melalui usaha sama dalam semangat keamanan dan persahabatan
demi mengukuhkan keamanan dan kesejahteraan seluruh komuniti di Asia Tenggara;
dan
b)
Mewujudkan keamanan dan kestabilan serantau menghormati keadilan dan
undang-undang di dalam hubungan antara negara serta mematuhi prinsip carta
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Sejak ASEAN ditubuhkan pelbagai perjanjian dan
forum perbincangan telah diwujudkan bagi merealisasikan aspirasi untuk
meningkatkan kerjasama yang meluas dalam kalangan negara ASEAN. Salah satu
resolusi yang cukup signifikan ialah perisytiharan ZOPFAN (Zone of Peace,
Freedom and Neutrality) pada tahun 1971 yang meletakkan rantau ASEAN sebagai
sebuah yang rantau yang bebas dan berkecuali dari sebarang pengaruh kuasa besar
yang tertentu sama ada blok Barat mahupun Timur.
Sepanjang tempoh 1976 hingga 2011 sebanyak 19
sidang kemuncak ASEAN telah diadakan bagi membincangkan pelbagai isu yang
timbul dalam kalangan negara anggota ASEAN yang mencakupi aspek politik, ekonomi,
keselamatan dan alam sekitar. Pada sidang kemuncaknya yang pertama pada tahun
1976 di Bali, Indonesia para pemimpin negara ASEAN telah memeterai “Treaty of
Amity and Cooperation” yang memfokuskan inisiatif untuk menyelesaikan sebarang
pertelingkahan dalam kalangan negara anggota melalui pendekatan diplomasi,
seperti rundingan damai. Selain itu, sidang kemuncak di Bali ini juga telah
meluluskan penubuhan Sekretariat ASEAN yang berpengkalan di Jakarta, Indonesia.
Sidang Kemuncak ASEAN yang keempat pada tahun
1992 di Singapura merupakan permulaan kepada liberalisasi ekonomi di rantau
ASEAN apabila pemimpin negara ASEAN mempersetujui pelaksanaan Perjanjian
Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA). Mekanisme utama bagi menggerakkan AFTA ialah
skim The Common Effective Preferential Tariff (CEPT). Konsep CEPT ialah
pengurangan tarif terhadap produk-produk perkilangan dan pertanian sebagai
langkah merancakkan perdagangan di kalangan negara ASEAN.
Krisis ekonomi yang melanda rantau Asia
Tenggara pada tahun 1997 merupakan sejarah pahit yang akan dikenang
selama-lamanya. Kegawatan ekonomi yang boleh diibaratkan sebagai “wabak
penyakit” itu mula menyerang Thailand kemudian merebak ke Indonesia dan
Malaysia. Instrumen krisis ekonomi 1997 adalah menerusi serangan terhadap mata wang
baht, rupiah dan ringgit serta pasaran saham ketiga-tiga buah negara berkenaan.
Kaedah yang digunakan oleh pemimpin negara yang dilandai teruk krisis ekonomi
1997 adalah berbeza. Indonesia dan Thailand terpaksa tunduk kepada pujuk rayu
Tabung Wang Antarabangsa (IMF) manakala Malaysia di bawah teraju Perdana
Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamad mengambil langkah berani dengan
menolak tawaran bantuan IMF tetapi sebaliknya memperkenalkan beberapa mekanisme
yang akhirnya berjaya membendung serangan bertubi-tubi terhadap ringgit, iaitu
menambat mata wang ringgit serta mengawal aktiviti pasaran luar pesisir yang
terdedah kepada serangan spekulator mata wang. Pengalaman pahit yang terjadi 14
tahun lalu itu merupakan pengajaran yang berguna bukan sahaja kepada tiga buah
negara yang menerima kesan teruk kegawatan ekonomi tetapi kepada negara-negara
ASEAN lain, iaitu Singapura, Brunei dan Filipina.
Sesungguhnya ASEAN sedang mengorak langkah ke
arah pembentukan komunitinya yang mantap dan saling membantu antara satu sama
lain. Tonggak komuniti ASEAN ialah ekonomi, keselamatan dan sosiobudaya. Oleh
itu, bagi mencapai matlamat komuniti ASEAN yang berkesan, maka beberapa cabaran
penting, seperti isu keselamatan serantau dan kestabilan politik negara anggota
wajar diperhalusi dengan rasional. Pada masa ini Myanmar adalah satu-satunya
negara ASEAN yang masih diperintah oleh junta tentera yang tidak mengamalkan
demokrasi. Myanmar yang menganggotai ASEAN pada tahun 1997 menempa imej yang
negatif di pentas antarabangsa kerana rekod buruknya dalam aspek hak asasi
manusia. Isu pelarian Ronhingya dan sekatan kebebasan bersuara terhadap tokoh
politik wanita Myanmar, Suu Kyi merupakan dua perkara yang mendapat perhatian
dunia. Kemuncak kerakusan rejim junta Myanmar ialah serangan terhadap
sekumpulan sami Buddha pada tahun 2007 yang mengadakan demonstrasi jalanan
membantah tindakan junta mengurangkan subsidi petrol hingga membebankan rakyat
Myanmar. Pendekatan junta Myanmar yang memandang remeh kebebasan hak asasi
manusia ini pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri Luar ASEAN pada
September 2007 hingga terdapat dalam
kalangan pemimpin ASEAN yang berpandangan bahawa Myanmar perlu digantung
keanggotaannya. Di Thailand pula, keganasan di wilayah bergolak Selatan Thai
merupakan satu cabaran yang berat kepada Kerajaan Thai yang kini diterajui oleh
Yingluck Shinawatra. Serangan terbaru di Sungai Golok yang berlaku pada hujung
September 2011 lalu meletakkan wilayah Selatan Thai dalam kondisi darurat.
Walaupun Yingluck dan kabinetnya pada masa ini sedang berusaha keras mengatas
krisis bencana alam banjir yang melanda wilayah utara Thailand, namun
masyarakat antarabangsa juga sedang menantikan satu pakej penyelesaian yang
komprehensif terhadap krisis di Selatan
Thai yang dihuni majoriti etnik Melayu beragama Islam.
Pelancaran piagam ASEAN pada penghujung tahun
2008 merupakan satu inisiatif untuk mewujudkan komuniti ASEAN yang progresif
dan saksama dalam mendepani cabaran globalisasi. Matlamat piagam ASEAN yang
menitikberatkan pengiktirafan hak kedaulatan dan kebebasan sesebuah negara
dalam kalangan anggota ASEAN jelas menzahirkan bahawa rantau Asia Tenggara
bebas daripada dasar campur tangan corak pemerintahan sesebuah negara. Walau
bagaimanapun hal ini tidak bermakna ASEAN akan berdiam diri sekiranya berlaku
pelanggaran hak asasi manusia di mana-mana negara ASEAN. Oleh yang demikian,
pada tahun 2009 Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia
telah ditubuhkan sebagai wadah untuk menyelesaikan sebarang pertikaian hak asasi
manusia seperti pemerdagangan manusia dan hak kebebasan bersuara.
Peranan ASEAN sebagai payung kepada
keharmonian rantau Asia Tenggara perlu dipertahankan dan masih relevan walaupun
belum mampu setanding dengan Kesatuan Eropah yang ditubuhkan 24 tahun selepas
pembentukan ASEAN. Seluruh dunia perlu menerima hakikat bahawa gagasan
liberalisasi rantau ASEAN dalam segenap aspek perlu dilakukan dengan teliti
agar tidak memudaratkan nilai timur yang dijunjung oleh segenap negara
anggotanya.
No comments:
Post a Comment