You're visitor number ...

Friday 10 February 2017

Barisan Kabinet


Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

Anjakan sistem pendidikan Malaysia
11 Sept 2012. Majlis Pelancaran Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 dengan menyenaraikan inisiatif-inisiatif penting yang akan dilaksanakan, melakar pelan tindakan yang jelas dan menetapkan jangkamasa tertentu untuk mencapai setiap sasaran yang ditetapkan.
Antara perkara yang boleh dijangka dalam Gelombang Pertama pelaksanaan pelan tersebut mulai 2013 hingga 2015 adalah peningkatan dalam kemahiran guru, kualiti pengajaran, keupayaan pegawai di peringkat negeri dan daerah serta mutu kepimpinan sekolah.
Gelombang Kedua mulai tahun 2016 hingga 2020 akan menyaksikan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua atau guru besar menikmati pakej kerjaya baru. Bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran distruktur semula dan kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula agar sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia.
Dalam Gelombang Ketiga mulai 2021 hingga 2025, semua sekolah, guru dan pengetua atau guru besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.
Kementerian Pelajaran akan mengorak langkah dalam menghasilkan satu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Pelan itu juga menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam ciri aspirasi utama iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.
Dalam pelan ini, sebanyak sembilan bidang keutamaan yang dikenal pasti. Sembilan bidang keutamaan tersebut adalah:
1. Memartabatkan profesion perguruan;
2. Meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah;
3. Meningkatkan kualiti sekolah;
4. Memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran;
5. Meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa;
6. Mengukuhkan penglibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan;
7. Meningkatkan kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja;
8. Memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber dan
9. Membina kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan.
Berdasarkan sembilan bidang keutamaan tersebut, kementerian mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang diingini oleh rakyat.
Sebelas anjakan tersebut adalah:
1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa;
2. Memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris;
3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai;
4. Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan;
5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah;
6. Mengupaya jabatan pelajaran negeri (JPN), pejabat pelajaran daerah (PPD) dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan;
7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia;
8. Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan;
9. Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas;
10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit dan
11. Meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam.
Pandangan panel penilai bebas tempatan dan antarabangsa diperolehi dalam penyediaan laporan awal pelan tersebut.Kementerian juga turut mendapatkan input daripada kajian-kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Bank Dunia dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan.